Tuesday, January 16, 2007

RESENSI BUKU WULAN

SUMBANGAN: AMIR MUKHRIZ

TAJUK: WULAN
KARYA: Fatin Nabiha
TERBITAN: Inang Publications (1996)
HALAMAN
: 164
ISBN
: 9839321323

Buku ini aku beli dengan harga RM2.37 cuma. Didiskaun sebanyak 70% bersama longgokan buku-buku lain yang tidak laku, di kedai Buku Popular Cheras Leisure Mall. Tapi, buku yang tak laku, tak semestinya tak bagus, atau jika tak bagus pun, tidak semestinya tidak menghiburkan, kan? Sekurang-kurangnya, buku ini agak menghiburkan. Bergerak dengan pantas walaupun beberapa babak dialog yang agak dragging.

Wulan memperihalkan kepercayaan animisme masyarakat kampung yang berjiran dengan laut yang luas, laut yang menjadi sumber rezeki, laut yang menjadi sumber malapetaka. Wulan itu sendiri satu malapetaka. Nama lain bagi Wulan ialah Ratu. Penunggu laut yang apabila amuknya tercetus akan memberi susah kepada sekalian penduduk kampung.

Maka novel ini berkisah mengenai seorang lelaki yang menghantar dirinya kepada penunggu laut tersebut, dengan harapan pengorbanannnya itu akan menghentikan segala petaka dan memberi sejahtera kepada penduduk kampung termasuk isteri dan anaknya.

Adakah pengorbanan lelaki itu menatijahkan apa yang diharapkan? Apakah dengan bekerjasama dengan makhluk halus yang terdiri daripada keluarga jin itu satu langkah yang bijak? Jawapannya ada di dalam Wulan. Aku suka penamatnya. Kerana di situ ada jawapan yang aku cari.

Artikel Asal: Resensi Wulan

Monday, January 15, 2007

APRESIASI NOVEL JIAN

TAJUK: JIAN
KARYA: MUHAMMAD FADLI AL-AKITI
TERBITAN: DBP (2004)
HALAMAN: 238
HARGA: RM9
ISBN: 9836283943


Aku mulakan ruangan ini dengan memberi satu dua pendapat tentang novel fiksyen-sains JIAN karya Muhammad Fadli Al-Akiti.

Aku rasa ramai juga yang garu kepala mendengar nama itu. Dia adalah seorang penulis muda yang sedang meningkat naik (aku rasalah). Terkenal dengan blog tontonfilem serta aku kagum dengan usaha blog kububukunya. (Ya, sekarang kamu semua tahu dari mana idea blog buku ini aku dapat).

Malaysia kekurangan novel-novel fiksyen-sains dan fantasi yang menarik, unik dan hebat. Ada beberapa novel dalam genre ini aku baca tapi banyaknya menulis kerana mahu ambil hati para juri. Novel yang menggunakan formula sayembara. Dengan elemen stereotype ‘memertabatkan bangsa Melayu’ seperti hero yang punya jati diri kuat, elemen propaganda budaya yang tidak diolah untuk kasi nampak tak campy serta banyak lagi.

Sekurang-kurangnya JIAN tidak begitu. Karakter utamanya, Dr. Amrin tidak bersyarah pasal nak memertabatkan bangsa Melayu sepanjang masa. Aku tak tolak propaganda atau sebarang benda nak menaikkan budaya, tapi cubalah olah dengan kreatif. Kasi nampak manja sikit dan lebih senang untuk orang hadam.

Dalam JIAN, karakter Dr. Amrin didatangi oleh Dr. Razak yang mengajaknya pergi ke satu daerah terasing bernama, err...Jian di Pahang. Ada satu insiden ngeri berlaku pada tahun 1984. 4 orang doktor (termasuk Dr. Amrin) pergi ke situ untuk membongkar apa yang sebenarnya telah berlaku. Mereka bertapak di situ dengan sebuah klinik. Orang kampung, ada sesetengahnya yang ragu-ragu dengan kehadiran orang asing ini. Biasalah, perangai Melayu. Maka bermulalah rentetan insiden seperti konspirasi rahsia kilang sabun di situ, penemuan lokasi kejadian ngeri yang pernah berlaku pada tahun 1984, berkenalan dengan beberapa mangsa yang terkena virus serta banyak lagi.

Aku nak komen pasal bahagian awal cerita yang agak kelam kabut dengan munculnya begitu banyak karakter-karakter. Aku jadi kalut untuk mengingati satu persatu nama. Transisi perkenalan itu agak cepat sampai buat aku terpaksa selak ke belakang balik beberapa kali kerana terkeliru ‘siapa mamat ni, ‘siapa minah tu’. Tapi perkenalan begitu banyak karakter itu amat perlu sebab mereka semua ini bakal terlibat dalam ‘kegilaan’ yang berlaku pada akhir cerita.

Aku difahamkan bahawa cerita ini mula ditulis pada usia beliau belasan tahun. Maka ada terdapat beberapa bahagian yang agak buat aku rasa ‘ini bukan gaya tulisan Fadz’ yang biasa aku baca. Aku juga difahamkan ada terdapat bahagian yang dicantas oleh editor kerana, satu sebab utama terlampau ganas. Cantas itu menjadikan ada beberapa babak yang aku kurang dapat menghayati. Tapi yalahkan, pembunuh di luar sana tu baca novel-kan, takut mereka terpengaruh dan lepas baca novel terus kapak kepala orang. Tanya semua penjenayah di dalam penjara tu, mesti mereka semua tu kaki baca novel kan?

Satu benda yang buat aku teruja adalah zombies. Whoa! Ada zombies dalam novel Melayu. Jarang benar kita boleh baca cerita zombies Melayu (selain dari karya pop-seram Tamar Jalis). Kira inspirasi Romero tu ada la juga (agaknya la). Selalu aku nampak imej muka bukan melayu terperangkap dalam satu bangunan yang sudah dikepung dengan zombies, kali ini aku membayangkan muka Melayu dan Cina dalam situasi itu. Cukup menarik.

Satu lagi elemen utama dalam JIAN adalah olahan fakta selari dengan perkembangan cerita. Terutamanya perihal bidang perubatan. Adunan fakta ini aku kira dibuat dengan kemas. Tak ada lah nampak sangat Fadli nak sumbat segala benda yang dia tahu. Penerangan sesuatu fakta itu juga agak jelas (walaupun ringkas) terutamanya untuk orang yang tak sekolah tinggi macam aku. Antara kelainan yang ditawarkan oleh sesetengah fakta itu digubah dalam bentuk gambarajah. Aku suka juga dengan msiteri kod binari itu. Nampak Fadli berusaha keras untuk mencetuskan idea sedemikian rupa.

Keseluruhannya, JIAN menawarkan satu fiksyen yang agak berbeza dari banyak fiksyen propaganda Melayu yang lain. Ada lubang sana sini, tapi aku rasa menjelang novel berikutnya, Fadli Akiti sudah punya kelebihan untuk menakluk dunia fiksyen sains Malaysia (bodek gila babi punya).

MANA BOLEH BELI:
Kedai Buku DBP/Dawama
KINOKUNIYA
Laman web Dawama

MUKAJIMAK

Selamat datang ke halaman yang, secara klisenya dan langsung tak catchy bertajuk ‘Apresiasi Fantasi’. Halaman ini hasil dari inspirasi yang telah diusahakan oleh saudara Fadli Akiti dalam projek Kububuku beliau.

Aku cipta Sahibul Fiksyen ini sebagai satu medium untuk a-menulis mengenai buku yang aku baca, b-berkongsi buku dan c-mengetengahkan dunia penulisan fantasi Malaysia. Adapun aku lebih memberi fokus kepada buku-buku bercorak fantasi dan fiksyen sains berbahasa Malaysia.

Pertama sekali kamu semua harus faham bahawa ini BUKAN halaman ulasan buku. Kesemua artikel yang bakal aku muatkan hanyalah sebagai satu ‘apresiasi’ (atau sebaliknya) terhadap buku-buku yang pernah aku baca. Maka komen-komen yang bakal kamu semua baca adalah berdasarkan selera (taste) aku dalam pembacaan. Maka jika kamu lihat aku mengutuk ‘Metamorphosis’ Franz Kafka, ianya bukan bermakna karya itu tidak bagus, Cuma ia bukan taste aku. Kalau taste aku rendah dari kamu semua, aku rasa, aku tidak ambil pusing pun. Pergi buat blog apresiasi buku sendiri. Komen-komen yang beri beri banyak berdasarkan pendapat aku yang secara jujurnya tidaklah tinggi ilmu sastera. Maka kalau kamu tak bersetuju dan timbul rasa 'wadafak?', maka aku tidak dapat berbuat apa-apa.

Bahasa yang aku gunakan dalam ruangan ini mencemar Bahasa Malaysia (sebagaimana kamu semua tengok pada perenggan pertama). Halaman ini lebih kepada untuk menarik orang untuk membaca buku. Bahasa campur ini memberi peluang kepada golongan non-readers mendekatkan diri dengan dunia buku. Aku tak ambil peduli kalau golongan sastera marah, kamu semua memang suka membaca buku, buat apa lagi aku berusaha nak tarik kamu semua. Pasal perjuangan memertabatkan sastera Melayu tu, aku dah buat di ruangan lain.

Artikel yang aku muatkan juga tidak semestinya berbahasa Malaysia sahaja, jika datang angin, aku mungkin sekali menulis dalam Bahasa Inggeris yang cacat dari segi grammar.

Seperkara lagi, buku-buku yang aku muatkan terdapat dalam dua bahasa, samaada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Ini kerana aku tidak tahu bahasa lain. Jika kamu lihat aku baca buku Naguib Mahfoudz, itu bukan kerana aku tahu bahasa Arab, tapi sebab aku baca terjemahannya. Tapi aku cuba sedaya upaya mengutamakan buku-buku yang ditulis oleh penulis Malaysia sebagai satu usaha kecil memperkenalkan mereka (kepada golongan non-readers, kepada ahli sastera, kamu semua lebih tahu dari aku).

Sebagaimana yang aku nyatakan tadi juga, ini ruangan apresiasi. Maka sudah tentu timbul banyak percanggahan dengan komen aku. Sebagai contoh aku meletakkan Neil Gaiman sebagai tokoh pencerita tersohor melebihi Franz Kafka, Orhan Pamuk, Charles Bukowski dan tokoh sastera yang lain sebab ceritanya masuk dengan ‘taste’ aku. Ya, mungkin nama-nama itu besar dalam dunia sastera, tapi dalam dunia aku, Neil Gaiman lebih menyeronokkan. Sekali lagi, aku peduli apa kalau kamu semua kata taste sastera aku rendah.

Jika ada sebarang cadangan buku untuk aku baca (termasuklah sastera tinggi, aku tak tolak, Cuma rankingnya bawah dari Neil Gaiman dan Dr. Rahmat Haroun la, huhu), boleh dicadangkan di ruangan komen ini untuk aku baca dan tulis mengenainya. Aku sertakan keutamaan buku mengikut taste aku;

  • 1. Novel fantasi Bahasa Melayu (ini yang paling aku utamakan. Aku mahu mempromosi sebanyak mungkin novel fantasi bahasa Melayu, yang baik dan buruk – termasuk juga bahasa Indonesia ya.).
  • 2. Novel fantasi Bahasa Inggeris. (termasuk sains-fiksyen, kalau boleh yang bukan sejenis dengan Harry Potter)
  • 3. Buku ilmiah berkaitan sastera/koleksi sajak/cerita pendek fantasi.
  • 4. Novel Sastera Bahasa Melayu (sekali lagi, aku mahu mempromosi sastera Melayu – Oh, jangan lupa, termasuk buku Sastera Indonesia)
  • 5. Novel Sastera Bahasa Inggeris (Okeylah, kalau kamu melonjak-lonjak sangat suruh aku baca Kafka)
  • 6. Novel pop (ada yang bagus, Bahasa Melayu dan Inggeris)

Harapnya laman kamu semua terhibur dengan isi kandungan laman ini. Akhir kata, majulah buku untuk bangsa. Wakaka!

Nota: Aku alu-alukan juga sebarang sumbangan ‘apresiasi’ dari kawan-kawan, tak kira dalam bahasa Malaysia atau Inggeris, sebarang buku, sebarang penulis. Boleh aku muatkan disini. Tapi aku tak bayar sebab aku sendiri berhempas pulas dengan situasi kewangan peribadi.

Boleh hubungi aku di emel: nazri123456789@gmail.com